Saturday, October 12, 2013

Jurutera Payung gergasi Masjid Nabawi





SEBANYAK 250 buah payung hidraulik gergasi di Masjid Nabawi menjadi satu lambang kemajuan teknologi umat Islam.



BAGI umat Islam di tanah air yang pernah menunaikan haji dan umrah, Masjid Nabawi di Madinah pasti menjadi destinasi persinggahan dalam melengkapkan ibadah selain Masjidil Haram, Mekah.
Masjid Nabawi merupakan masjid kedua yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW selepas Masjidil Haram pasti menjadi destinasi wajib bagi kira 3.5 juta jemaah haji setiap tahun.
Sejak dibina pada tahun pertama hijrah, Masjid Nabawi telah melalui pelbagai fasa perubahan terutama daripada struktur binaan masjid untuk keselesaan para jemaah.
Terbaharu, masjid itu telah dilengkapi dengan sistem payung hidraulik yang memenuhi ruang lantai marmar di bahagian luar masjid.
Dengan suhu Madinah yang mencecah 49 darjah Celsius setiap hari, pembinaan payung hidraulik merupakan jalan penyelesaian terbaik melindungi lantai marmar daripada cahaya matahari yang terik.
Mahmoud Bodo Rasch, 70, merupakan individu penting dalam pembinaan payung hidraulik gergasi tersebut. Terkenal dengan gelaran Arkitek Allah, Mahmoud juga terlibat dalam beberapa projek besar di Mekah dan Madinah antaranya, menara jam Abraj Al Bait, rekaan khemah kalis api di Mina dan rekaan bahagian mimbar Masjidil haram.
Rakyat Jerman yang memeluk agama Islam sejak 30 tahun lalu itu mula menyumbang idea untuk membuat payung gergasi yang mudah dilipat pada tahun 1992.
Sebanyak 250 payung hidraulik setinggi 20 meter dipasang di pekarangan Masjid Nabawi yang meliputi keluasan kira-kira 150,000 meter persegi.
Diprogramkan

PAYUNG hidraulik gergasi juga dicipta untuk menyerap haba panas daripada lantai masjid pada waktu malam.


Apabila payung itu mula dibuka pada setiap pagi, ia kelihatan seperti bunga yang sedang berkembang. Ia juga telah diprogramkan untuk dibuka dan ditutup mengikut urutan agar pergerakan bukaan payung tidak bertembung.
Selain itu, operasi pembukaan dan penutupan payung itu senyap tanpa bunyi dan ia juga sejajar dengan perubahan suhu harian.
Pada musim panas, payung tersebut akan memantulkan cahaya matahari ke ruang udara. Pada waktu malam, payung tersebut akan menyerap haba panas daripada lantai masjid untuk mengekalkan suhu sejuk pada lantai pada waktu siang.
Projek payung hidraulik itu juga berjaya mengurangkan suhu waktu siang di Masjid Nabawi sebanyak 10 darjah Celsius. Ia juga memberi keselesaan kepada jemaah sekali gus mereka dapat melakukan ibadat dengan khusyuk sepanjang musim haji dan umrah.
Payung bersaiz besar itu juga dapat melindungi jemaah khususnya warga emas dan uzur yang beribadat di luar masjid pada waktu siang daripada terkena panahan cahaya matahari.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1010&pub=Kosmo&sec=Jom_Singgah&pg=jo_01.htm#ixzz2hd7DyItH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment