Saturday, October 19, 2013

TERPEGUN DENGAN KEINDAHAN ISLAM








Dalam Perang Yarmuk, tentera islam seramai 40,000 orang mampu mengalahkan tentera musuh sebanyak 6 kali ganda iaitu seramai 240,000 dimana seramai 50,000 tentera musuh maut manakala hanya 3000 orang sahaja dari tentera islam yang mati syahid.

Sebelum perang bermula, tampil seorang pahlawan dari tentera Rom yang bernama Gergorius mencabar Khalid Ibn Al-Walid yang digelar Pedang Allah berlawan satu lawan satu dengannya. Cabaran itu disahut oleh Khalid Ibn Al-Walid tanpa gentar. Dan ketika mereka berhenti rehat seketika setelah keletihan maka terjadilah dialog soal jawab antara mereka berdua:

Gergorius : Aku mahu bertanya sesuatu kepada kamu....!

Khalid Ibn Al-Walid : Silakan...

Gergorius : Benarkah kamu ini mendapat gelaran Pedang Allah...?

Khalid Ibn Al-Walid : Ya... benar..!

Gergorius : Benarkah Tuhan kamu turun dari langit dengan membawa sebilah pedang lalu diserahkan kepada kamu...?

Khalid Ibn Al-Walid : Itu tidak benar...!

Gergorius : Jika begitu mengapa kamu digelar Pedang Allah...?

Khalid Ibn Al-Walid : Tuhanku mengutus seorang Nabi dikalangan kami. Pada mulanya, aku juga menentang kenabian Muhammad, tetapi kemudian aku mendapat petunjuk daripada Tuhanku lalu aku ini menjadi penyokong setia beliau. Pada suatu hari, Nabi Muhammad berkata kepada ku bahawa aku ini adalah sebilah pedang daripada pedang-pedang Allah yang terhunus kepada kaum kafir musyrik.

Baginda berdoa kepada Tuhanku supaya aku menang dalam peperangan menegakkan agamanya. Kemudian aku diberi gelaran Pedang Allah. Sejak itu aku bersikap keras terhadap mereka-mereka yang menentang Islam.

Gergorius : Apa yang engkau seru kepada manusia semasa menjalankan tugasmu...?

Khalid Ibn Al-Walid : Aku menyeru supaya mereka mengaku tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Gergorius: Sekiranya hari ini ada orang menerima seruan engkau dan memilih tawaran menerima agama islam, apakah taraf kedudukan orang itu dikalangan kalian...?

Khalid Ibn Al-Walid : Kedudukannya setaraf dengan kami tanpa mengira sama ada orang itu mulia, hina, miskin atau kaya...

Gergorius : Apakah orang yang baru memeluk agama engkau pada hari ini mendapat pahala dan kedudukan yang sama dengan engkau...?

Khalid Ibn Al-Walid : Mereka itu lebih mulia daripada kami...

Gergorius : Mengapa engkau berkata begitu...?

Khalid Ibn Al-Walid : Kami hidup pada zaman Nabi dan dapat melihat mukjizat baginda. Kami juga menyaksikan sendiri keajaibannya. Ada pun orang yang tidak pernah bertemu dengan Nabi Muhammad dan belum pernah menyaksikan mukjizat keajaiban baginda, namun mereka tetap menerima agama islam dengan jujur dan ikhlas, maka mereka itu lebih mulia dari kami ini...

Gergorius : Demi Tuhan...! aku menyahut seruan engkau Khalid Ibn Al-Walid...! Aku mengaku tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah...!

Khalid Ibn Al-Walid terkejut bercampur gembira. Muka mereka berseri-seri bercahaya. Mereka terus bersalam berpeluk-pelukan. Kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata di medan pertempuran dan kedua-dua belah pasukan tentera tercengang saling berpandangan diantara mereka. Maha Suci Allah yang memilih siapa sahaja dari hambanya untuk menerima cahaya hidayah.

Alhamdulilah... Allahu Akbar...! 

No comments:

Post a Comment