Sunday, October 6, 2013

Puak zalim juga bersandarkan 'Islam'




Susah untuk rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu yang berjiwa lembut, untuk memahami mengapa begitu kejam pihak tentera dan polis kerajaan haram Mesir menyerang, menyeksa dan membunuh rakyatnya sendiri yang turun dengan tangan kosong untuk membantah rampasan kuasa.Begitu banyak laporan yang tersiar di media maya melalui audio visual perihal kekejaman pihak tentera, termasuk menggunakan samseng membunuh rakyat dengan sewenang-wenangnya, meroboh dan membakar khemah penyokong Mohamad Morsi, menyerang orang ramai hingga ke dalam masjid bahkan sanggup membakar Rumah Allah itu. Ada tahanan yang sudah ditangkap, dibunuh begitu sahaja dalam trak yang berkunci dengan dilemaskan asap gas pemedih mata. Ada laporan menyebut terdapat yang ditembak sewaktu dalam tahanan.

Laporan terakhir menyebut bahawa lebih dua ribu orang awam dibunuh manakala lebih sepuluh ribu tercedera. Sehingga kita tertanya-tanya, jenis makhluk apakah polis dan tentera Mesir dan para pemimpin kerajaan yang memerintah Mesir kini? Kumpulan manusia atau binatang buas?

Namun di Mesir gambaran yang dipersembahkan oleh kerajaan Mesir terhadap rakyatnya berbeza dari apa yang kita kutip melalui media maya. Setelah semua rangkaian media bebas serta yang pro Morsi diharamkan, mereka mempropagandakan bahawa pihak tentera adalah pejuang yang mempertahankan negara dari kezaliman Ikhwan Muslimin, diseru untuk ikhlas dalam perjuangan dan taat kepada pemerintah yang sah. 

Dalam surat khabar dipaparkan senarai tentera yang terkorban dan dikatakan sebagai hero negara dan syuhada. Ayat-ayat Quran mengenai jihad dan mati syahid menghiasi ruangan akhbar pada muka surat yang menunjukkan senarai gambar dan nama tentera yang terkorban. 

Hampir 95 peratus rakyat Mesir adalah muslim dan mereka sangat kuat berpegang pada nilai islami. Terdapat yang terkesan dengan seruan dan sentimen agama. Malahan kononnya tentera Mesir juga didoktrin dengan semangat jihad yang hebat. 


Ucapan 'ketua penjenayah' Mesir, Abdul Fatah As-Sisi kepada rakyat kelihatan sangat lunak dan Islamik. Selepas menjatuhkan Presiden Morsi yang dipilih secara sah oleh rakyat melalui demokrasi serta membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa, As-Sisi masih mampu berkata, "Rakyat Mesir bebas memilih siapa yang mereka mahu sebagai pemerintah. Tentera dan polis akan melindungi hak rakyat untuk memilih pemimpin mereka."

Presiden Sementara Mesir, Adly Mansour mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud untuk "berdiri bersama Mesir menentang keganasan" dan yakin bahawa Arab Saudi dan Mesir akan "kekal mendukung kestabilan" di rantau Arab.
Mansour berkata beliau menghargai pendirian Arab Saudi mengenai ancaman pelampau Mesir dan menyatakan bahawa dunia Arab perlu bersetuju dengan beliau.Menurutnya Mesir telah mengatasi beberapa halangan dan telah dikurniakan dengan kemenangan yang diperolehi daripada mempertahankan identiti Arab dan Islam.

Mansour berkata bahawa Mesir akan terus menghentikan keganasan, yang telah mengancam rakyat dan keselamatan negara di negara ini.

Baru-baru ini beberapa negara Barat mengancam akan memotong bantuan yang dicadangkan terhadap Mesir ekoran keganasan yang dilakukan oleh junta tentera terhadap rakyat. Menteri Luar Saudi, Saud Al-Faisal lantas berkata, "Kepada negara-negara yang mengumum akan memotong bantuan atau mengancam untuk berbuat demikian di Mesir, negara Arab dan Islam tidak akan teragak-agak membantu Mesir." Hebatnya kerajaan Saudi yang bersekongkol dengan kezaliman ala Firaun tentera Mesir turut bercakap atas semangat 'Arab dan Islam'. 

Demikian juga segelintir ulamak penyokong junta tentera Mesir dari negara-negara Arab hinggalah ke Malaysia mempertahankan kezaliman tersebut bersandarkan Islam dan menentang kerajaan junta tentera adalah sikap Khawarij kerana menyanggah kerajaan yang memerintah.

Begitulah wajah kerajaan yang zalim di mana-mana negara umat Islam pun. Mereka tiada rasa malu untuk mengungkapkan perkataan yang lunak-lunak di sebalik kezaliman yang dilakukan. Bahkan pihak yang dizalimi mereka pula yang akan dilabel dengan pelbagai imej keji.
Melayu mungkin belum lupa dengan peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Memali 1985. 14 penduduk kampung Memali yang diserang dan dibunuh kejam dianggap bughoh (penderhaka) oleh kerajaan yang memerintah manakala pihak penyerang pulak diangkat sebagai hero, malah ada yang menganggap kematian mereka adalah syahid.

Begitu juga dalam setiap kejadian keganasan terhadap rakyat yang dilakukan oleh pihak tertentu dalam beberapa siri himpunan Bersih yang menuntut demokrasi yang adil, rakyat biasa yang berhimpun secara aman dianggap perusuh manakala pihak yang membelasah rakyat adalah wira. Muncullah ulamak-ulamak pengampu yang mempertahankan keganasan serta menyalahkan rakyat. Ulamak tersebut juga bercakap atas nama Islam serta menampilkan ayat-ayat Quran untuk mempertahankan 'kezaliman' pihak berkenaan.

Mereka berselindung di sebalik retorik yang muluk-muluk malah kelihatan Islamik untuk menutup kejahatan, sekalipun perkataan yang sanggup peralatkan itu adalah mulia seperti 'Allah, Islam, iman, maruah, jihad, hak, syahid' dan sebagainya. Kesimpulannya watak sekular atau kerajaan yang zalim di mana-mana negara umat Islam sama sahaja.

No comments:

Post a Comment