FIRMAN ALLAH DALAM SURAH ALI IMRAN AYAT 133 :
MAKSUD :
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
Daripada Abu Said, iaitu Sa'ad bin Sinan al-Khudri r.a. bahawa Nabi saw bersabda:
“Ada seorang lelaki daripada golongan umat sebelummu telah membunuh sembilan puluh sembilan manusia. Kemudian ia (pembunuh tersebut) bertanya (kepada orang ramai) tentang siapakah orang yang teralim di kalangan penduduk bumi, lalu ia ditunjukkan kepada seorang pendeta. Ia pun mendatanginya dan membuat pengakuan bahawa ia telah membunuh sembilan puluh sembilan manusia, adakah masih diterima untuknya bertaubat. Pendeta itu menjawab, “Tidak diterima.” Mendengar jawapan tersebut, lelaki itu pun membunuh pendeta tersebut dan ia telah menyempurnakan jumlah seratus orang yang dibunuhnya, termasuklah si pendeta tersebut. Lalu ia bertanya lagi (kepada orang ramai) tentang siapakah orang yang teralim daripada penduduk bumi, kemudian ditunjukkan kepadanya seorang alim. Kemudian ia membuat pengakuan bahawa ia telah membunuh seratus manusia. Adakah masih diterima taubatnya? Orang alim itu pun menjawab: “Ya, masih boleh diterima. Siapakah yang dapat menghalangi antara dirinya dengan taubat itu? Pergilah engkau ke sekian-sekian tanah (tempat), sebab di sana ada beberapa kelompok manusia yang sama menyembah Allah Ta’ala, maka sembahlah engkau kepada Allah itu bersama-sama mereka dan janganlah engkau kembali ke tanahmu sendiri, sebab tanahmu adalah negeri yang buruk.” Lelaki itu pun terus pergi sehingga ia sampai ke separuh perjalanan, tiba-tiba ia didatangi oleh ajal kematian. Kemudian bertengkarlah malaikat rahmat dan malaikat azab berkenaan nasib orang tersebut. Malaikat rahmat berkata, “Orang ini telah datang untuk bertaubat sambil menghadapkan hatinya kepada Allah Ta'ala”. Malaikat azab berkata, “Sesungguhnya orang ini tidak pernah melakukan sebarang kebaikan walaupun sedikit.” Kemudian ada satu malaikat mendatangi mereka berdua dalam bentuk seorang manusia dan ia dijadikan sebagai pemisah (iaitu sebagai hakim pemutus) antara malaikat-malaikat yang berselisih tadi. Ia berkata, “Ukurlah olehmu berdua jarak antara dua tempat di bumi itu, ke arah manakah lelaki itu lebih dekat kedudukannnya, maka orang itu adalah untuknya. Iaitu jika jaraknya lebih dekat menuju ke arah tempat untuk bertaubat, maka ia adalah milik malaikat rahmat. Sebaliknya jka jaraknya lebih dekat dengan negeri asalnya, maka ia adalah milik malaikat azab”. Malaikat-malaikat itu pun mengukur dan kemudian didapati bahawa jarak orang tersebut adalah lebih dekat ke arah bumi yang dikehendaki, yakni yang dituju untuk melaksanakan taubatnya. Oleh sebab itu, maka ia dijemput oleh malaikat rahmat.”[Muttafaqun ‘alaih] Ibrah Hadis di atas memberikan khabar tentang betapa besarnya rahmat Allah dalam mengampunkan dosa-dosa manusia sekalipun ia telah melakukan kesalahan dan dosa yang sangat besar. Walaupun hadis ini menukilkan tentang umat yang terdahulu (sebelum umat Muhammad), tetapi ibrah (pengajaran) yang boleh kita ambil adalah bahawa sesungguhnya Allah itu tidak pernah menutup pintu taubatNya selagimana manusia itu sentiasa mengharap kepada keampunanNya. Bayangkan jika kita berada di tempat lelaki dalam hadis tersebut, adakah kita bakal menjadi orang yang terus berharap kepada keampunan dan rahmat Allah, atau adakah sebaliknya kita berputus asa setelah mengira-ngira betapa besarnya dosa-dosa kita di masa lalu? Katakan ada seseorang yang melalaikan seluruh kewajipan-kewajipannya sebagai seorang Muslim, melakukan perkara-perkara maksiat dan keharaman, lalu atas sebab tertentu tiba-tiba ia menjadi insaf lalu bertaubat. Kemudian diulangi lagi kemaksiatannya, dan suatu ketika ia pun tersedar dan bertaubat semula. Dan perkara ini berulang-ulang beberapa kali sehingga ada masanya muncul persoalan yang bermain-main dalam benak fikirannya, “Apakah taubatku ini masih berguna sedangkan aku sentiasa mengulang-ulang kesalahanku berkali-kali? Apakah Allah masih memandang aku dengan rahmatNya?” Pada ketika itu, datang lintasan atau bisikan di hati yang mengatakan, “Sesungguhnya aku telah mensia-siakan taubatku yang terdahulu dan aku tidak mampu untuk menahan diriku daripada terus melakukan maksiat yang sama. Disebabkan dosa-dosaku yang bertimbun ini, biarkanlah saja kerana aku tidak mampu untuk berhenti atau mengubahnya lagi. Sia-sia sahaja untuk aku terus bertaubat dan aku pasti akan ke neraka.” Iktiqad (niat hati) sebegini jika dilakukan dalam keadaan sedar sangat membahayakan keimanannya kepada Allah SWT, na'uzubillahi min dzalik. Sikap berputus asa boleh menyebabkan seseorang itu tertipu dengan bisikan syaitan pada tahap yang lebih tinggi. Seorang pelaku maksiat bukan sahaja tertipu ketika melakukan maksiatnya, malah lebih parah lagi dia tertipu apabila bersikap berputus asa untuk bertaubat dan menagih rahmat serta keampunanNya. Apabila berlakunya sedemikian rupa, dengan serta merta keimanannya menjadi robek dan rosak kerana sikap berputus asa adalah perkara yang akan memutuskan seseorang itu daripada rahmat Allah SWT. Apa lagi yang boleh diharapkan jika berlakunya perkara sedemikian? Ini sudah pasti akan membuatkan para iblis dan syaitan bersorak gembira atas kejayaan mereka dalam membawa manusia ke neraka Allah. Memang sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu sentiasa melakukan kesilapan, kesalahan dan dosa dalam kehidupannya. Baik sama ada kesalahan atau dosa itu kecil ataupun besar, sedikit ataupun banyak, membuatnya sekali ataupun berulang kali. Setiap dosa itu pasti akan membuahkan catitan yang akan membawa kepada terbukanya ruang azab dan seksa daripada Allah SWT. Ruang itulah yang perlu ditutup dengan segera dengan segala amal kebajikan yang mampu untuk dilakukan dan pintu utamanya adalah taubat kepada Allah SWT. Nabi SAW yang mulia sebagai seorang yang maksum turut bertaubat dan beristighfar kepada Allah tidak kurang daripada 70 kali dalam sehari, inikan pula manusia biasa yang serba lemah dan hina seperti kita. Berbalik kepada hadis yang dinukilkan di atas, jika sekiranya lelaki tersebut sudah hilang niatnya untuk merujuk kepada orang yang faqih, tidak lagi berharap kepada rahmatNya dan tidak berusaha untuk bertaubat kepadaNya, adakah dia akan mampu untuk mendapat keampunan daripada Allah sepertimana yang diperolehnya? Sebagai umat Muhammad SAW, kita telah dianugerahkan dengan pelbagai kelebihan hatta dalam perkara taubat dan harapan. Renungkanlah hadis qudsi yang disampaikan daripada Anas radhiallahu anhu, Rasulullah saw bersabda: Allah SWT berfirman, “Wahai anak Adam! Sesungguhnya selama mana engkau berdoa dan berharap kepadaKu, maka Aku akan pasti memberikan keampunan kepadamu atas segala dosa-dosamu dan Aku tidak akan mengendahkannya. Wahai anak Adam! Andaikata dosa-dosamu mencecah ke langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, maka Aku akan pasti memberikan keampunan kepadamu. Wahai anak Adam! Jika engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau bertemu denganKu tetapi engkau tidak menyekutukan Aku walaupun sedikit, maka Aku akan pasti datang kepadamu dengan membawa keampunan sepenuh bumi.” [HR Tirmidzi] Inilah sebuah berita gembira untuk kita wahai umat Muhammad. Selagimana kita tidak menyekutukan Allah, walau sebesar mana pun dosa-dosa yang telah kita lakukan, apabila kita bertaubat dan mengharapkan keampuanNya, maka Allah tidak akan pernah lokek untuk mengampunkan kita dan terus mengurniakan rahmatNya kepada kita. Allah SWT langsung tidak pernah mensyaratkan kita untuk melakukan perjalanan jauh tertentu sebelum diampunkanNya dosa-dosa kita. Bahkan rahmat Allah itu Maha Luas di atas muka bumi ini selagimana kita tidak berputusa asa dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu. Justeru, apakah lagi keputusan yang harus kita pertimbangkan selain daripada terus bersegera bertaubat dan meraih keampunanNya? Rebutlah peluang ini sebelum datangnya ajal, kerana apabila ruh sudah sampai ke tenggorok, pintu taubat akan ditutup buat selama-lamanya. Allahumma ihdinas shiraatal mustaqiim. |
Friday, September 6, 2013
Jangan Berputus Asa Daripada Rahmat Allah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment