Di kala rakyat Malaysia masih sedang bergembira dalam meraikan sambutan hari raya ‘Eidul Fitri dan juga perayaan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos baru-baru ini, sekali lagi rakyat Malaysia dikejutkan pula dengan kenaikan harga petrol RON95 dan juga diesel bermula pada 3 September 2013. Ketika rakyat terutamanya umat Islam sudah banyak berbelanja menghabiskan wang kerana hari raya, tiba-tiba mereka disentap dengan bebanan hidup yang tidak diduga yang mana ia sudah pasti akan memberikan kesan yang sangat besar kepada elemen-elemenn utama kehidupan yang lain. Seperti biasa, bagi menyejukkan suasana panas yang sedang berlegar di kalangan rakyat yang secara majoritinya tidak bersetuju dengan tindakan tersebut, maka Najib dan para pembuat polisi negara terpaksa menggunakan istilah-istilah bombastik dengan harapan dapat meredakan kemarahan rakyat. Apa yang pasti, rakyat di Malaysia terus menjadi mangsa akibat penerapan sistem ekonomi kapitalisme yang diamalkan oleh pemerintah sekular yang berkuasa di saat ini. Islam sebagai sebuah ideologi wahyu telah menjelaskan isu ini jauh lebih awal berbanding apa yang diperjelaskan oleh ahli-ahli ekonomi kapitaslime dan sosialisme. Dalam Islam, api (termasuk elektrik dan petroleum), air dan jalan raya adalah hak milik umum (rakyat). Ia tidak boleh dijadikan hak milik syarikat atau pun negara. Sumbernya wajib dikelola oleh pemerintah dan disalurkan sebaik mungkin kepada umat dengan harga kos dan bukannya untuk mengambil sebarang keuntungan. Ia sama sekali berbeza dengan sistem kapitalisme di mana kesemua perkara di atas dimonopoli oleh syarikat tertentu, baik milik negara ataupun swasta, dan hasilnya dimakan dengan rakus oleh para pemilik modal.
Rasulullah saw telah mengingatkan kepada kita berkenaan isu ini lebih 1400 tahun yang lalu, antara sabdanya, “Daripada Ibnu Abbas ra, bahawa Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, ‘Kaum Muslimin itu bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud]. Anas ra pula meriwayatkan hadis daripada Ibnu Abbas ra tersebut dengan tambahan, “wa tsamanuhu haram” (dan harga yang diambil daripadanya adalah haram). Ibnu Majah juga meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, bahawa Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, “Tiga perkara yang tidak akan pernah dilarang (daripada manusia untuk memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api.” [HR Ibnu Majah]. Air, padang ragut dan api (tenaga) adalah tiga perkara yang Rasulullah SAW benarkan bagi semua orang untuk berkongsi di dalamnya dan baginda melarang mana-mana pihak untuk menghalang orang lain daripada menggunakannya. Tidak ada seorang manusia pun yang boleh ‘mengindividukan’ pemilikan atau menswastakan sesuatu aset yang telah diberikan kepada umum oleh Allah SWT. Inilah solusi Islam yang datang untuk mengatur seluruh kehidupan manusia termasuklah juga dalam persoalan ekonomi. Justeru, apakah rakyat di Malaysia khususnya dan dunia amnya ingin terus membiarkan diri mereka dibelenggu oleh kekejaman akibat daripada penerapan sistem ciptaan manusia ini? Pilihan ada di tangan kita wahai umat manusia. Jika dahulu masyarakat jahiliyyah bersedia untuk berubah dan memilih Islam sebagai suatu cara hidup, maka mengapakah kita sebagai umat Islam hari ini ingin menjadi sebaliknya dengan memilih sistem ciptaan manusia untuk mengatur urusan hidup serta meninggalkan cara hidup Islam? Cukuplah firman Allah SWT ini sebagai suatu peringatan: “Adakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki? Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah dalam membuat hukum bagi orang-orang yang yakin? [TMQ Al-Maaidah (5):50]. |
Friday, September 6, 2013
Rakyat Malaysia Terus Digula-gulakan Oleh Pemerintah Sekular
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment